06 Disember 2010

Cinta Natrah Terlalu Abadi

Usai menonton teater Natrah tempoh hari, Kpah tanya aku, "Macam mana kalau kisah Natrah ni berlaku zaman sekarang Jan?" Aku diam. Berfikir lalu aku tinggalkan persoalan tu macam tu.

Susah. Kalau zaman dulu boleh terjadinya rusuhan dan ada yang terkorban. Apatah lagi kalau kisah macam tu berlaku pada zaman sekarang.

Pada aku kisah Natrah banyak boleh dijadikan pengajaran merentasi sempadan masa, perhubungan sosial, sempadan negara, agama dan kaum. Kenapa ia terjadi di bumi kelahiran kita ni pun adalah sesuatu yang istimewa untuk dirungkaikan.

Sebelum menonton aku baca seberapa banyak ulasan dan cerita pasal Natrah ni. Menarik. Itu yang menjadikan aku mahu menonton.

Pada aku Natrah adalah milik-Nya. Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya jualah kita kembali. Walau Natrah dilahirkan dari rahim seorang Kristian, pembesarannya dalam sekitaran alam Melayu dengan didikan dan ajaran agamanya adalah Islam. Maka, Natrah tanpa ada paksaan daripada mana-mana pihak telah memperakukan bahawa Allah itu Esa dan Muhammad S.A.W adalah pesuruh-Nya.

Perebutan ke atas hak penjagaan diri Natrah, sehingga manusia berbalah melibatkan beberapa negara (Malaya, Indonesia dan Singapura) hingga ke benua Eropah (Belanda dan Inggeris) menjadikan kisahnya mendapat perhatian masyarakat dunia.

Apabila sesuatu yang terjadi melibatkan kesan ke atas tindakan kita, nah, Natrah adalah cerita yang tepat terhadap segala persoalan daripada segi perundangan, sosial, politik, penyatuan, perpaduan dan cinta malah segala-galanya.

Menyingkap bab terakhir dalam buku Natrah karya Fatini Yaacob, siapa pun Natrah, Muslim kah dia, atau Kristian kah dia pada akhir nyawanya, hanya Allah saja yang Maha Mengetahui. Hinggalah jasadnya tidak disemadikan malah dijadikan pula untuk bahan kajian bagi penyakit leukimia.

Cinta Natrah juga terlalu abadi. Segala kenangannya bersama suami Mansur Adabi yang dicintai dibawa sampai mati.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan