29 Mac 2012

hati saya. rahsia saya.

Luaran sahaja yang saya kongsikan.
Hati saya biarlah rahsia.
Belum sedia. Belum mahu.
Yang saya pasti itu bukan kamu.

Hati saya biru atau kelabu atau ungu. Kamu tak kan tahu. Bila dah sedia nanti, saya kongsikan.

26 Mac 2012

Lebih

Jangan berlebih tapi tidak berkurang. Jika terlebih jadi pincang. Jika terkurang jadi bimbang. Lebih-lebih lagi jadi perhatian orang.

Ada perkara lebih baik diam saja. Ada perkara lebih baik berterus terang saja. Ada perkara lebih baik tidak berbuat apa-apa. Ada perkara perlu bersegera.

Saya pilih bersederhana saja. Tidak lebih tidak kurang. Kurang lebih tidak berkurang tidak berlebih.

25 Mac 2012

belon-belon 2012

Cerita minggu lepas di Hot Air Ballon 2012. Tahun ni tahun ketiga tapi masih tak dapat naik belon panas tu gak. Alahai, kempunan lagi. Cerita tahun lepas klik kat sini k belon-belon episod satu dan belon-belon episod dua

Up, up away
silhouette



Ketua Kodok pose happy

Kek terbang

Tah bila la nak naik ni?

Belon sedut lori

Belon lagi

24 Mac 2012

Putrajaya dan sekitarnya

Dalam perahu Dondang Sayang dekat Monumen Alaf Baru - tu yang macam pensel  tu.
Masjid Besi 
Pelan-pelan kayuh. Kayuh mende, pakai enjin la... hehe
Jambatan Seri Wawasan. Eh? Aku rasa betullah
Istana Darul Ehsan
Masjid Putra
Layan perasaan gak la... haha
Masjid Putra
Kawan-kawan yang kita sayang
Mudik ke hulu
Tengah berangan apa tah?

22 Mac 2012

dia yang menarik perhatian

Macam-macam yang saya tengok. Setiap hari keadaan berbeza. Kadang kasih. Kadang kasihan. Cemas. Kejar ke sana. Kejar ke sini.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya faham kerana pernah melalui keadaan seperti itu.

Pagi ini, saya terlihat dia yang menarik perhatian orang di sekelilingnya. Semua yang melihat pasti banyak persoalan di kepala. Gelagatnya - bercerita seperti si waras menjadi wakil rakyat di pentas dunia dan bersahaja. Tapi, kata-katanya adakala ada benarnya.

Ah, cerita dunia! Dia terus menjadi perhatian semua. Dia ke hulu. Dia ke hilir. Semua mata terus memerhati. Termasuk saya. Saya suka. Suka melihat pelbagai ragam manusia di sekeliling saya. Yang itu satu hal sahaja. Ada lagi.

Ada kala pekerjaan saya seperti polis - perlu bersedia, mendengar, menyiasat dan melaporkan. Ada kala pekerjaan saya seperti pekerja sosial. Bila mana ada anak kecil yang kehilangan mak atau bapa di tengah-tengah khalayak, saya bantu cari dan memulangkan si kecil ini kepada ibu bapanya. Semakin banyak berita kanak-kanak hilang dipaparkan semakin tidak pedulikah mak bapak ini? Tolonglah.

Ada kala pekerjaan saya menyebabkan saya 'catwalk' di tengah orang yang menyesak. Ada rakan yang terlihat saya sehingga sukar mahu memberhentikan dan menyapa saya. Kata mereka saya sibuk. Atau kata lain memang benar saya sibuk.

Sesibuk yang macam mana sukar untuk ditulis dengan kata-kata. Mungkin ringkasnya begini 11 jam di antara perjalanan saya ke pejabat hingga pulang ke rumah hanya kurang 2 jam saya duduk di pejabat. Mampu?

Pulang ke rumah, saya tatap tv. Jam 7 di 8TV. Ceritanya mengenai kepolisian. Rancangan ini sahaja yang menarik hati saya untuk tatap peti gambar dan suara itu. Selepas itu tiada lagi. Mata saya tidak menatap tapi terus terkatup. Makan malam hanya sekadarnya sahaja.

Lantas, saya terfikir si dia yang menarik perhatian saya pagi tadi adalah manusia yang tidak perlu mendengar cerita duniawi saya. Dia yang menarik perhatian saya dan lainnya sedang 'bahagia' dengan cara dia tersendiri.

Bagi dia yang menarik perhatian saya tidak perlu bersusah payah. Tapi saya yakin, jika dia dalam sedar, sebenarnya pasti dia merasa payah menjadi diri dia yang sering menjadi dan mahukan perhatian.

Dia tidak minta jadi begitu, kan? Seperti juga saya dan kamu. Kita tidak mahu jadi begini payah mencari 'nikmat' dunia. Tapi, ada satu perkara kalau kita tahu tentang satu perkara itu. Hari bahagia kita mungkin bukan di dunia ini tapi di syurga nanti.

21 Mac 2012

dan kamu pun tahu

Saya cukup yakin yang kamu pun tahu. Tahu mengenai diri saya yang tidak cukup kuat untuk menghadapi realiti dan kejam dunia. Kamu memang patut tahu perjalanan hidup kita tak sama dan tak juga serupa. Jadi, kamu tak perlu bersimpati untuk saya.

Saya tidak kuat tapi tak bermakna saya lemah. Dan kamu patut tahu diri kamu juga sama seperti saya. Adakala diri kita tidak merasa kuat untuk menghadapi segala macam hal. Pada masa yang sama kita tak perlu menunjukkan kelemahan diri kita.

Dan kamu patut tahu tak selalu saya membuat keputusan yang betul untuk diri saya. Dan kamu patut tahu yang mana kamu patut mengingatkan saya dan menegur saya bila perlu. Kamu dan saya sama. Ya, kita sama-sama degil dan berpada-pada.

Dalam hidup kita perlu untuk tidak terlalu bergantung kepada siapa-siapa. Kerana di akhir hidup kita, kita hanya sendirian kembali ke dalam tanah. Walau tidak bergantung harap dengan siapa-siapa tidak bermakna aku-aku, engkau-engkau. Hidup dalam masyarakat sudah menjadi resam dunia untuk saling tolong-menolong tanda kita perlukan persahabatan, hormat-menghormati dan bersangka baik sesama kita.

Dan saya tahu yang kamu tahu apa maksud saya.

14 Mac 2012

BUNOHAN


Kisah para manusia yang banyak ragam dan aksinya. Seperti juga ada cerita seperti ini di seputar kita. Tidak kira di mana. Nah, cerita ini di Bunohan, Kelantan. Cerita tiga beradik. Yang kejam membunuh manusia, si tamak haloba dan anak haram yang tidak kenal ibu dan kurang kasih ayahnya.

Yang jahat tidak disangka ada baiknya. Yang baik tidak disangka lebih jahat dari yang sebenar-benar jahat. Manusia oh manusia.

Cerita ini telah saya tontoni. Saya suka sinematografinya. Bila melihatnya saya teringatkan Ong Bak. Bukan kerana aksi-aksinya. Tolonglah, cerita ini bukan cerita aksi-aksi seperti Ong Bak. Cerita ini cerita perihal manusia dan karenahnya. Kenapa saya teringatkan Ong Bak? Mungkin kerana maskulin pada watak-watak ceritanya, latar cerita, pemilihan warna dan kredibel para pemeran watak itu sendiri.

Pada saya, setiap watak tidak membayangi watak lain. Walau ada ketika watak Bakar lakonan Pekin terkesan lebih dari yang lain. Tapi diakhir cerita kita tetap terkenangkan Ilham (Faizal Hussein), Bunga Lalang (Zahiril Adzim), Mukis dan Mek Yah dan Mek Na.

Konklusinya, filem seperti ini amat perlu sangat dibanggakan. Akan tetapi pasti kurang penerimaan bagi marhaen yang terbiasa dengan filem yang tinggi nilai komersialnya. Sehingga lupa filem yang dapat reviu baik dari masyarakat dunia terlihat murah di mata rakyat Malaysia.

Syabas dan tahniah kepada para pemeran, pengarah, penerbit dan rakyat Malaysia yang menontonnya. Kalau bukan kita yang memartabatkan filem keluaran negara sampai bila-bila pun darjat filem kita sendiri tidak akan tertingkat ke mana-mana.

di akhir cerita semoga segalanya indah

Awal kalam berbicara. Tersentap dengan cerita-cerita kejam dunia. Di sana sini, di sekeliling kita. Bunuh, bakar, termenung seketika. Manusia kejam sungguh durjana mengkhianati hak-hak-Nya.

Celaka sungguh manusia. Tiada hati, tiada peri manusia. Jahil sungguhkah? Atau bisikan syaitan merajai hati manusia?

Yang meratapi kesal tak terperi. Yang melihat menjadi berhati-hati. Masyarakat menuding jari. Terlupa nak muhasabah diri. Dunia bagaikan terhenti. Tiada lagi aksi si comel mencuit hati.

Di akhir kalam semoga segalanya indah. Tutup buku perihal dunia. Tenangkan hati semoga roh si kecil bersemadi abadi di sisi-Nya. Akhir cerita biar bahagia di syurga.

Untukmu Dirang, keluarga dan rakyat Malaysia.

11 Mac 2012

rindu alam





Di Pulau Manukan beberapa kilometer dari Kota Kinabalu.
Oh ye bila nak panjat gunung ni?


Menanti dan terus menanti.
Dejavu.

08 Mac 2012

Cerita Pendek

Hati siapa yang kamu sentuh pada saat ini? Barangkali bukan saya. Hati saya, diri saya tersentuh dengan satu cerita pendek yang membuatkan saya menitis air mata.

Seperti hujan yang turun di Putrajaya ini, air mata saya juga seperti hujan yang basah di pipi.

Ceritanya tentang pesan seorang ayah kepada anak gadisnya. Tentang cinta, maruah dan kasih sayang seorang ayah yang tidak berbelah bagi.

Pesan ayah itu, tahan-tahanlah perasaan kamu itu kepada si lelaki, jangan ditunjuk sehingga terlihat murah. Ingatlah Allah dengan banyak menyebut namanya.

Pesan si ayah lagi dalam karangan pendek itu, cinta itu bukan sekadar hati yang sedia memberi dan menerima cinta tetapi fikiran, emosi, fizikal juga perlu bersedia. Bukan hanya pada diri kita tetapi juga pasangan kita.

Sehingga ke hujung cerita tersebut yang membuatkan saya tersentuh jiwa lalu mengalir air mata - "baik buruk anakanda, anakanda tetaplah permata hati ayah. Kerana anakanda sudah memegang hati kecil ayah ini sehinggalah saat ayah mati, sedang ayah hanya mampu memegang tangan anakanda semasa anakanda masih kecil."

Pada ayat terakhir pesan si ayah, "sekiranya tidak mungkin ayah memegang dan memimpin tangan anakanda sekarang, izinkan ayah memegang dan memimpin anakanda dalam doa ayah."

Dalam sedar atau tidak, adakalanya seorang anak gadis gagal menyelami perasaan seorang ayah. Lalu, kerana cerita pendek ini tahulah saya walau mungkin abah saya jarang mengucapkannya atau mempamerkan perasaannya yang sebenar - sayalah permata hati abah dalam keadaan diri saya macam mana sekalipun.

Yang benar saya yang sedang menyapu air mata.

Tuhan Lebih Tahu

Cuba lihat kamu?
Lihat siapa kawan-kawan kamu?
Lihat di sekelilingmu.
Langit membiru.
Awan berlalu.
Di satu waktu, kita tahu tentang perkara baru.
Perkara yang baru kita tahu bukan baru lagi.
Banyak lagi yang kita tak tahu.
Buat-buat tak tahu atau malas nak tahu?
Yang tahu pura-pura tak tahu.
Bila ambil tahu seolah-olah tak tahu.
Yang mahu tahu bertambah pengetahuan baru.
Tambah ilmu baru, ilmu lama terus diamalkan.
Asal baik jadi teladan. Yang tidak baik, tak molek diamalkan.
Sampai satu waktu, kita sama-sama tahu tentang perkara itu.
Perkara yang kamu tahu dan kita tahu.
Tak semua orang tahu tapi Tuhan Lebih Tahu.

06 Mac 2012

Cerita Bahagia Kawan Saya

Khabar kawan yang sudah lama tidak saya tanyakan khabarnya. Dia membawa khabar ceria. Hatinya sedang bahagia. Meniti hari-hari yang sangat-sangat dinanti-nantikannya. Dia bertanya, saya perlu menjawabnya. Jawab saya, ya. Saya akan tunaikan permintaannya dirinya. Tunggu sajalah saat itu akan tiba jua - hari bahagia dia. Saya gembira untuk dirinya.