30 Disember 2011

impian besar saya

Impian besar saya bukan mahu jadi pembesar. Apatah lagi impian saya kalau ditulis ia adalah satu impian yang kecil bagi manusia-manusia lainnya. Akan tetapi impian besar saya itu kalaulah satu hari nanti saya akan melakukannya, saya adalah orang yang sangat-sangat berbahagia bilamana apa yang saya percayakan kini akan saya lakukan pada masa akan datang. Tanpa ragu. Tanpa rasa takut.

Sekalipun pada masa ini saya sedang melakukannya. Saya sedang lakukan impian besar saya ini dan kalian (kawan-kawan yang kita sayang) sedang membacanya. Kalianlah saksi impian saya ini. Secara langsungnya walau dalam keadaan maya. Impian besar saya itu bukan sekadar menulis di blog CikPanda Berkongsi Cerita. Impian besar saya yang mungkin akan ada sesetengah manusia akan menyindir dan menyumbingkan bibirnya ke atas akan saya usahakan secara berdikit-dikit.

Bukan tidak ada yang menyokong dari segi moral atau tidak terjumpa haluannya tapi seperti yang saya katakan impian besar saya itu adalah impian kecil bagi sesetengah manusia lainnya. Ya, saya mahu berkarya dan hasil karya saya itu nanti adalah impian yang saya maksudkan - mengubah persepsi dunia tentang perbezaan mengenai kehidupan. Tentang hidup. Bukan tentang Dhia.

Tentang Dhia yang tidak saya ikuti kerana kepercayaan saya terhadap kualiti cerita tentang satu kehidupan yang bukan seperti itu yang mahu saya tontoni. Tentang Nora Elena mahu pun Ombak Rindu. Karya-karya itu bagus tidak saya nafikan. Tapi bercerita mengenai impian besar saya bukan sepertinya karya-karya itu yang mahu saya hasilkan.

Saya suka sekali melihatkan sisi berbeza tafsiran manusia tentang kehidupan. Usai menonton 3Idiots di TV3 malam semalam (walau saya adalah antara yang terlewat menyaksikannya!) sempat saya khabarkan pada rakan lain untuk melihat cerita Aamir Khan memeran watak guru kepada seorang murid disleksia (saya tidak ingat tajuk filem itu) dan juga filem Hindustan Paa lakonan Amitabh Bachan yang memaparkan sisi berbeza kehidupan manusia dan fasa lain karya para Hindustani.

Bagi filem atau karya manusia yang penduduknya dilahirkan di bumi Malaysia ini, saya hanya kagum dengan sentuhan Allahyarhamah Yasmin Ahmad dan tercuit dengan cerita kawan-kawan hasil arahan daripada Afdlin Shauki.

Berbeza dengan medium filem, saya juga turut tersentuh dengan karya Faisal Tehrani - Tunggu Teguh Dulu dan kini saya sedang layani novel Habiburrahman - Bumi Cinta. Karya mereka membawa saya ke dunia yang lebih realis. Terdampar saya ke kehidupan yang jauh dari ceritera rekaan, bomoh, khurafat, hasad dengki, percintaan yang curang, cinta yang melalaikan dan sebagainya yang tidak membangun jiwa.

Seperti yang pernah saya reviukan di dalam blog saya ini mengenai Perempuan Berkalong Sorban, minat saya yang lebih selektif kepada ceritera-ceritera karyawan Indonesia yang lainnya seperti Ayat-ayat Cinta dan Laskar Pelangi.

Jika satu hari nanti, impian besar saya ini menjadi kenyataan, akan saya khabarkan berita gembira itu pada kawan-kawan yang kita sayang. Apa mediumnya dan bila jangka waktu perkara baik ini akan berlaku saya tetap akan teruskan hasrat/impian/matlamat/kemahuan saya untuk ke arah itu.

Tetapi ini bukanlah satu azam baru yang saya rekakan dengan sengaja kerana tahun melangkaui tahun yang lagi satu. Saya tidak suka terburu-buru untuk ke arah itu. Pada saya biarlah mengambil masa yang entah berapa lama kerana dalam jangka masa yang lama ini - saya bukan bergoyang kaki semata tetapi akan terus memerhati, berempati dan berhati-hati menjalani dan meneladani kehidupan saya ini dengan kehidupan mahkluk lainnya di muka bumi Tuhan ini.

Semoga satu hari nanti saya akan berada pada satu kehidupan yang penuh berbeza kerana telah berjaya melaksanakan impian besar saya ini. Saya sudah memberitahu dan berkongsi cerita dengan kawan-kawan yang kita sayang - yang suka membaca, yang suka mendoakan saya dan saya juga mendoakan impian besar kawan-kawan yang kita sayang supaya tercapai segala impian yang diimpikan.

****

Terima kasih kerana sudi membaca omelan kecil saya di sini.
Selamat Tahun Baru buat semua kawan-kawan yang kita sayang - yang cantik bak rupawan dan yang hensem menawan.

Jaga diri dan biarlah diri kita lebih banyak memberi daripada menerima manfaat dan kebaikan, semoga Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Kaya saja yang layak menimbang tara dosa dan pahala kita.

17 Disember 2011

tiada indah hidup tanpa masalah

Tiada indah hidup ini tanpa masalah.
Tiada daya diri ini mendepani semuanya sendiri.
Tiada pula yang memahami tapi mahu menyakiti.

Kerjakan pekerjaan sebagai ibadah pujuk diri.
Janji Tuhan di syurga nanti, pasti.

mereka lari kerana kecut dan takut

Kata mereka mahu mengubah dunia. Yang buruk jadi indah. Yang jelek jadi cantik. Mahu mereka supaya semuanya akan gah di mata dunia. Tapi, barangkali mereka lupa. Manusia duniawi berpesan-pesan supaya ada di antaranya tidak alpa. Mereka lari kerana kecut dan takut. Biar jadi ribut, biar jadi kalut. Tapi mereka tetap terus berlari kerana kecut dan takut. Mahu mereka diakhir cerita jadi indah. Tidak susah buat mereka tapi penuh onak dan duri. Untuk yang lainnya terpaksa memijak duri-duri dunia. Mereka terus lari kerana kecut dan takut. Di akhir cerita mereka berdiri kerana dipuji. Yang memijak duri-duri dunia memilih jalannya sendiri. Hebat sangat mereka ini. Jika hebat, mereka tidak perlu lari kerana kecut dan takut. Sebaliknya, mereka perlu sama berani memijak duri-duri dunia. Berani atau takut sama seperti benar atau salah. Tidak perlu berani tapi tak perlu takut. Tidak ada yang salah, tidak ada yang benar. Kerana semuanya jadi benar dan salah; jadi takut dan berani. Jadi, mengapa mereka lari kerana kecut dan takut? Kerana tidak berani, barangkali. Buat yang lainnya tidak berani merajai hati juga tapi mereka tidak lari kerana kecut dan takut. Buat yang lainnya hanya perlu mendepani dan meneladani hal-hal yang baik supaya jadi berani. Mengertilah aku kini, mereka yang berani tidak harap dipuji. Walau dalam diri takut pernah merajai tetapi bagi mereka yang takut dan kecut akan terus berlari. Itu pasti.

11 Disember 2011

Permudahkanlah Ya Allah...

Semoga Allah mempermudahkan urusan-urusan mereka yang banyak membantuku dan Allah memberikan lebih banyak rezeki buat mereka. Amin...

05 Disember 2011

Ombak Rindu

'Cinta tak kejam. Tapi manusia yang tak tahu menghargai.' (Ombak Rindu)

02 Disember 2011

Istikharah Cintaku




Allah yang menciptakan cinta.
Allah yang membisikkan rindu.
Semoga Allah mendengar Istikharah Cintaku.