27 Julai 2010

Masih di dalam mode filem Indon ini

Pada saya Perempuan Berkalung Sorban adalah karya yang jujur, sinis, berani dan radikal. Ya, ia mengangkat tema Islam sehinggakan filem ini di tanah kelahirannya ‘diserang’ lalu dipanaskan lagi dengan isu pemboikotan tentunya daripada pihak-pihak yang tidak bersetuju yang mana perihal kehidupan di pesantren (sekolah pondok) dilakarkan sehingga sedemikian rupa.

Filem ini saya katakan jujur kerana nah, suatu ketika dulu tidak dapat tidak wanita dipotretkan sebagai tidak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan yang tinggi. Jika pandangan saya ini tidak mampu saya buktikan pada zaman ini setidak-tidaknya ia memang pernah berlaku dulu. Iya, kan?

Berani dan radikalnya filem ini apabila beberapa ayat yang dipaculkan oleh watak Anissa ada menyebutkan “Zikirku tidak didengari Allah. Tahmidku, tasbihku tidak didengari Allah.” Ia seolah-olah mencabar zat Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Lantaran itu, saya katakan filem ini sinis kerana apabila watak bapa Anissa mengambil keputusan untuk menikahkan Anissa dengan jodoh pilihannya terasa seperti ada udang di sebalik batu. Masakan tidak, dengan menikahkan anaknya, pesantrennya akan lebih berkembang maju lagi. Tetapi, pernikahan itu bukanlah sebuah keindahan bahkan seperti layaknya dipanggil malapetaka!

Radikal pula pada saya apabila beberapa babak di ranjang yang dipaparkan hanya untuk menuntaskan hawa nafsu sang suami tanpa mempedulikan layanan yang lebih sopan atau setidak-tidaknya tidak menafikan hak isteri untuk dilayani seperti seorang manusia yang sihat akal fikirannya. Memang tidak adil wanita yang bergelar isteri dilayan sebegitu rupa sehingga menyebabkannya trauma.

Lalu saya terfikir, sinema Indonesia berani mengangkat tema seperti ini kerana ia membuatkan kita atau sekurang-kurangnya pada saya tentang stigma atau perspektif negatif maysarakat luar yang hanya menganggap Islam itu seperti yang digambarkan seperti dalam filem ini. Tetapi sebenarnya, Islam itu indah, adil dan syumul.

Saya lebih tertarik pada babak orang yang berzina direjam dengan batu, apabila ibu Anissa merungkaikan persoalan kita tidak layak menghukum kesalahan orang lain lalu dialognya seperti ini dilontarkan sambil memegang batu seolah-olah mencabar “Jika ada yang tidak pernah berbuat dosa, silakan melempar.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan