11 Ogos 2010

Ramadhan Yang Dekat di Hati

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan buat semua.

Terlebih dahulu syukur Alhamdulillah, kita diberi kesempatan untuk bertemu sekali lagi pada Ramadhan kali ini. Bagi saya, Ramadhan sangat saya rindukan kerana pada bulan yang penuh keberkatan ini jugalah saya dilahirkan.

Ya, 9 Julai 1983 pada ketika itu adalah bersamaan dengan 28 Ramadhan 1403H. Maka, jika dihitungkan pada 28 Ramadhan 1431H ini, saya berumur 28 tahun! Tak mengapalah. Pada saya umur berganti hanya pada nombor sahaja, tapi sepanjang 27 tahun itu tentunya penuh dengan saat-saat bahagia tak kurang juga cabaran hidup yang penuh liku.

Mak pernah memberitahu saya, ketika saya dalam kandungannya yang sarat pada ketika itu, mak berpuasa penuh kecuali saat saya telah dilahirkan beberapa hari sebelum menjelangnya Aidilfitri.

Apabila saya memberitahu pada rakan yang rapat mengenai hal ini, ada yang mengatakan saya tabah dan cekal mungkin dari ketabahan dan kecekalan mak saya pada ketika itu. Setelah 27 tahun saya harus mengakuinya. Semua kekuatan yang ada pada diri ini adalah kekuatan yang saya dapat daripada mak saya yang saya sayang sangat-sangat.

Jadi sempena Ramadhan ini, lakukanlah yang terbaik sepertinya kita tak berkesempatan menemui Ramadhan pada masa akan datang.

Untuk semua kawan-kawan yang kita sayang semoga amal ibadat kita pada bulan yang mulia ini mendapat keberkatan daripada-Nya. Cekal, tabah dan sabar ketika diri ditimpa musibah. Ingat, Allah sentiasa bersama dengan kita.

2 ulasan: