22 Mac 2012

dia yang menarik perhatian

Macam-macam yang saya tengok. Setiap hari keadaan berbeza. Kadang kasih. Kadang kasihan. Cemas. Kejar ke sana. Kejar ke sini.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya faham kerana pernah melalui keadaan seperti itu.

Pagi ini, saya terlihat dia yang menarik perhatian orang di sekelilingnya. Semua yang melihat pasti banyak persoalan di kepala. Gelagatnya - bercerita seperti si waras menjadi wakil rakyat di pentas dunia dan bersahaja. Tapi, kata-katanya adakala ada benarnya.

Ah, cerita dunia! Dia terus menjadi perhatian semua. Dia ke hulu. Dia ke hilir. Semua mata terus memerhati. Termasuk saya. Saya suka. Suka melihat pelbagai ragam manusia di sekeliling saya. Yang itu satu hal sahaja. Ada lagi.

Ada kala pekerjaan saya seperti polis - perlu bersedia, mendengar, menyiasat dan melaporkan. Ada kala pekerjaan saya seperti pekerja sosial. Bila mana ada anak kecil yang kehilangan mak atau bapa di tengah-tengah khalayak, saya bantu cari dan memulangkan si kecil ini kepada ibu bapanya. Semakin banyak berita kanak-kanak hilang dipaparkan semakin tidak pedulikah mak bapak ini? Tolonglah.

Ada kala pekerjaan saya menyebabkan saya 'catwalk' di tengah orang yang menyesak. Ada rakan yang terlihat saya sehingga sukar mahu memberhentikan dan menyapa saya. Kata mereka saya sibuk. Atau kata lain memang benar saya sibuk.

Sesibuk yang macam mana sukar untuk ditulis dengan kata-kata. Mungkin ringkasnya begini 11 jam di antara perjalanan saya ke pejabat hingga pulang ke rumah hanya kurang 2 jam saya duduk di pejabat. Mampu?

Pulang ke rumah, saya tatap tv. Jam 7 di 8TV. Ceritanya mengenai kepolisian. Rancangan ini sahaja yang menarik hati saya untuk tatap peti gambar dan suara itu. Selepas itu tiada lagi. Mata saya tidak menatap tapi terus terkatup. Makan malam hanya sekadarnya sahaja.

Lantas, saya terfikir si dia yang menarik perhatian saya pagi tadi adalah manusia yang tidak perlu mendengar cerita duniawi saya. Dia yang menarik perhatian saya dan lainnya sedang 'bahagia' dengan cara dia tersendiri.

Bagi dia yang menarik perhatian saya tidak perlu bersusah payah. Tapi saya yakin, jika dia dalam sedar, sebenarnya pasti dia merasa payah menjadi diri dia yang sering menjadi dan mahukan perhatian.

Dia tidak minta jadi begitu, kan? Seperti juga saya dan kamu. Kita tidak mahu jadi begini payah mencari 'nikmat' dunia. Tapi, ada satu perkara kalau kita tahu tentang satu perkara itu. Hari bahagia kita mungkin bukan di dunia ini tapi di syurga nanti.

2 ulasan:

  1. coretan yang sangat menarik dan saya sangat menyukainya...

    BalasPadam
  2. terima kasih kerana menyukai coretan ini :)

    BalasPadam