14 Mac 2012

BUNOHAN


Kisah para manusia yang banyak ragam dan aksinya. Seperti juga ada cerita seperti ini di seputar kita. Tidak kira di mana. Nah, cerita ini di Bunohan, Kelantan. Cerita tiga beradik. Yang kejam membunuh manusia, si tamak haloba dan anak haram yang tidak kenal ibu dan kurang kasih ayahnya.

Yang jahat tidak disangka ada baiknya. Yang baik tidak disangka lebih jahat dari yang sebenar-benar jahat. Manusia oh manusia.

Cerita ini telah saya tontoni. Saya suka sinematografinya. Bila melihatnya saya teringatkan Ong Bak. Bukan kerana aksi-aksinya. Tolonglah, cerita ini bukan cerita aksi-aksi seperti Ong Bak. Cerita ini cerita perihal manusia dan karenahnya. Kenapa saya teringatkan Ong Bak? Mungkin kerana maskulin pada watak-watak ceritanya, latar cerita, pemilihan warna dan kredibel para pemeran watak itu sendiri.

Pada saya, setiap watak tidak membayangi watak lain. Walau ada ketika watak Bakar lakonan Pekin terkesan lebih dari yang lain. Tapi diakhir cerita kita tetap terkenangkan Ilham (Faizal Hussein), Bunga Lalang (Zahiril Adzim), Mukis dan Mek Yah dan Mek Na.

Konklusinya, filem seperti ini amat perlu sangat dibanggakan. Akan tetapi pasti kurang penerimaan bagi marhaen yang terbiasa dengan filem yang tinggi nilai komersialnya. Sehingga lupa filem yang dapat reviu baik dari masyarakat dunia terlihat murah di mata rakyat Malaysia.

Syabas dan tahniah kepada para pemeran, pengarah, penerbit dan rakyat Malaysia yang menontonnya. Kalau bukan kita yang memartabatkan filem keluaran negara sampai bila-bila pun darjat filem kita sendiri tidak akan tertingkat ke mana-mana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan