10 Jun 2011

Mengayat Ayat-Ayat Cinta? Oh, Tidak!


Keperluan kerja saya adalah memerlukan kemahiran menulis yang sangat tinggi. Tingginya adalah lebih tinggi daripada puncak Gunung Everest. Keperluan kerja saya dari dulu hingga kini atau selama-lamanya adalah menyayat (erk, salah eja lagi) mengayat. Selama-lamanya kah?

Ianya sangat indah jika saya mampu menyayat mengayat ayat-ayat cinta yang bisa membuat manusia terbuai atau terlalai seperti semuanya tidak berpijak pada bumi yang nyata.

Tapi keperluan kerja saya (realitinya) adalah menyayat mengayat ayat-ayat laporan atau minit mesyuarat atau surat rasmi yang saya rasakan saya sangat tidak menyukainya. Tidak menyukai tidak bermakna membenci. Seperti juga diri kita menyukai seseorang tetapi tidak bisa memiliki... dan apa kena mengena perumpamaan ini dengan apa sebenarnya yang aku nak mengayat kat sini. Ok, sila abaikan.

Berbeza dengan keperluan kerja saya dahulu yang juga mengayat tapi orang bilang kamu perlu lebih kreatif. Kreatif dalam mengayat ayat-ayat yang mahu melariskan jualan barangan anda atau memberitahu umum jenama produk anda atau membuat teks pesanan khidmat masyarakat juga bukanlah perkara yang mudah.

Berbeza tapi sama... Sama kerana ia masih tidak lari kerana ia adalah cabang dalam bidang penulisan tetapi berbeza kerana penggunaan ayat-ayatnya yang kritikal dan... sebenarnya aku tak pasti ayat yang sesuai yang boleh menyatakan hasrat aku sekarang ni.

Berbeza juga pendekatannya jika kita perlu mengayat ayat-ayat mengorat muda mudi zaman sekarang ni. Tak kena cara menyayat mengayat, alamat gagallah kehendak dan hasrat kita.

Ok, semakin banyak yang aku nak menulis kat sini semakin kesian pulak aku rasa kalau kawan-kawan yang kita sayang baca tapi tidak dapat manfaatnya.

Manfaatnya hanya ada pada saya. Sekurang-kurangnya inilah ruangan yang membolehkan saya rasa suka kepada hal-hal mengayat dan menulis. Menulis dengan cara ini sekurang-kurangnya mengurangkan tahap gangguan diri saya yang sedang atau sebenarnya hendak menyiapkan laporan dan banyak lagi hal-hal lain yang saya perlu ambil tindakan selanjutnya.

Saya terhenti seketika kerana ada keperluan untuk melonggarkan urat-urat atau saraf-saraf otak saya yang tidak tersambung antara satu sama lain kerana saya tidak minum susu DHA seperti kanak-kanak sekarang yang membesar dengan hebatnya dengan meminum susu formula ini.

Sekian, buat masa ini. Sekarang aktiviti yang lebih best untuk dibuat ialah melihat orang-orang yang penuh bersesak-sesak di Jalan Tuanku Abdul Rahman iaitu satu lokasi ibu-ibu dan anak gadis berpergian pada setiap tengah hari, hari Jumaat.

Jumpa lagi dan selamat hari Jumaat.


*sorry semua perkataan menyayat tu memang tak sengaja ditaip begitu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan