24 Julai 2012

Salam Ramadan 1433H

Salam Ramadan buat semua kawan-kawan yang kita sayang.

Ramadan kali ini berbeza sekali. Hidup sendiri - berdikari. Bukan tiap-tiap hari begini. Lima hari seminggu dua hari lagi di kediaman ayah bonda. Usai Syaaban melabuhkan tirai saya disyaki menghidap denggi! Lagi? Lima tahun dulu dah kena dah. 

Selepas diperiksa darah, tiada denggi. Demam panas yang biasa-biasa saja. Nah berbuka dan bersahurkan ubat-ubatan. Lalu lalok di katil sendiri. Hari ni 4 Ramadan, selamat berpuasa kepada semua. Mudah-mudahan Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan sebelumnya. Dari segi mujahadahnya. Dari segi imannya. Dari segi pengisiannya. Amin Ya Rabb.

Semoga kita semua dipanjangkan usia menuju Ramadan yang satu lagi. Andai ini Ramadan ku yang terakhir, maafkanlah segala salah dan silap empunya diri. 

Seperti Didakap Ibu

Seperti didakap ibu.

Anak kecil itu, menangis lalu terus menangis. Tangisan yang tiada tanda mahu berhenti. Diam. Anak kecil itu jadi diam lalu teresak-esak didakap ibunya. 

Seperti anak kecil itu, yang mahukan perhatian... perhatian... dan perhatian serta belaian ibunya.

Lalu anak kecil membesar dengan riang dan gembira. Sesekali hilai tawa memecah sunyi. Sesekali nakal dan manja silih berganti.

Bila besar anak kecil jadi dingin. Bercakap dengan ibu pun adakalanya tidak sudi. Anak kecil yang sudah besar terlihat meninggi diri. Lumrah hidup. Satu hari anak besar dilanda musibah, tiada siapa di sisi kecuali ibu yang setia menanti. 

Ibu yang semakin tua hanya tunggu dipanggil Ilahi. Anak yang besar dilanda musibah susah hati. Maka, datanglah rasa insaf di hati. Anak kecil yang sudah besar tidak berlengah lagi. Dari kecil dibesarkan ibu, sudah besar mahu berbakti.

Hangatnya pelukan seperti didakap ibu, lalu ibu pergi menyahut seruan Ilahi. Tiada lagi kasih terpateri. 

13 Julai 2012

Katanya Mahu Jadi Pelukis

Cerita manusia.

Satu hari ada seorang remaja datang kepada saya. Katanya mahu jadi pelukis.
Setelah berbalas soalan dan jawapan, ada riak gelisah dari bahasa tubuhnya. Gelisah seperti sesuatu yang sangat dia mahu tapi dia tidak tahu bagaimana mahu memulakannya. Itu sebab dia bertanya. Tapi wajah dukanya ditutupi dengan senyum sengih - tidak terluah kata.

Dia bertanya lagi, 'Macam mana saya nak jadi pelukis, kak?'
'Sekarang kamu buat apa?'
'Saya tengah belajar.'
'Belajar apa?'
'Engineering.'
'Kenapa ambil engineering kalau nak jadi pelukis? Susah ke belajar engineering
Dia gelisah lagi.
'Tak susah tapi saya malas.'

Dalam hati saya, nasib kau bukan adik aku. Kalau malas tak ada ubatnya. Kalau kau adik aku dan kau jawab sebab kau malas, perkara pertama yang aku nak buat ialah bagi pelempang aku. Tak apa, back to reality.

Jawab saya, 'Kalau malas, susahlah.'
Dia sengih dan terus berlalu. Lepas dia pergi, terngiang-ngiang ungkapan seseorang pada saya 'tak semua yang kita nak, kita akan dapat'. Tapi, sesungguhnya saya tak suka ayat itu. Ayat itu seperti pembunuh. Belati yang tajam menusuk terus tepat ke jantung lalu mati.

Untuk remaja tu, saya rasakan bukan kerana dia malas tapi faktor tidak ada cukup dorongan untuk dia menjadi pelukis. Mungkin cita-citanya telah dibunuh oleh kata-kata pedih yang tak menyokong dirinya. Dan saya juga pernah melalui perkara itu. Faktor dorongan dan sokongan sangat memainkan peranan besar dalam setiap tindak-tanduk kita, kan? Setuju?

Ya, saya tahu anda setuju! (senyum)



05 Julai 2012

i miss you


Saya rindu KodokMondok saya. Minggu lepas dapat jumpa kejap pasal celebrate birthday Tsara 1 year. Aisyah dah besar dah pandai cakap dan kenal Auntie2 Kodok dia. 

Saya tengah sibuk sekarang ni jadi banyak cerita tak sempat nak dikongsikan kat sini.
Penat? Kerja apa yang tak penat, kan?