19 April 2012

Ucapan Hangat

Syukur pada-Mu Ya Allah. Hanya pada-Mu aku memohon agar Engkau murahkan rezeki kepada mereka yang banyak membantuku. Lapangkanlah pintu rezeki mereka, limpahkanlah rahmat dan kasih sayang-Mu kepada mereka. Lindungilah mereka, ibu bapa mereka dan anak-anak mereka.

Hamba-Mu yang kerdil ini yang sering meminta kerana Engkau Yang Maha Esa dan Berkuasa.

Amin Ya Rabb.

*buat staf-staf Unit Perhubungan Awam

17 April 2012

Doa Selamat

Perjalanan masa cepat berlalu.
Sedar atau pun tidak, yang terjadi tinggalkan belakang waktu. Yang akan terjadi, tertunggu-tunggu masa itu.

Sabarlah, masanya akan tiba jua.
Cepat atau lambat, berdoa untuk segala-galanya selamat.

16 April 2012

Sujudku

Alhamdulillah.
Tuhan Yang Aku Cinta.
Kerana-Mu aku bersujud.
Kerana-Mu aku berserah.
Kerana-Mu adalah sebaik-baik kuasa yang memakbulkan doa.

Sesungguhnya hamba merasa sungguh kerdil.
Kerana apabila aku meminta Kau perkenankan.
Apa yang terbaik untukku sesungguhnya Engkau Maha Tahu.

Tuhan Yang Aku Cinta

Jika lambat sedetik, mungkin tidak begini.

Jika lambat sedetik, tidak akan bertemu waktunya.

Aku pasrah dan berserah dengan ketentuan-Mu.

Tuhan Yang Aku Cinta.
Aku yang mengharapkan redha-Mu.
Aku mengharap redha kedua ibu bapa ku juga. Amin.

Engkau lembutkanlah hati-hati mereka.
Amin.

12 April 2012

Kasut

Apabila diduga, adakala kita lupa. Lupa Yang Maha Pencipta sedang menduga. Dugaan datang dalam kepayahan namun kesenangan pasti akan tiba jua.

"Kamu tidak ada dalam 'kasut' saya dan saya tidak ada dalam 'kasut' kamu." Mungkin kerana saiz 'kasut' kita tak sama. Mungkin kerana warna 'kasut' kita tak serupa.

Ada terfikir mahukan 'kasut' yang baru. Tapi sejenak terfikir, 'kasut' lama mahu letak di mana?

hanyut

Dan aku hanyut dalam nada lagu itu. Tari-tarian yang tak menentu.

10 April 2012

Bila Berperang Biar Sampai Menang

Saya bukan negarawan yang tercatat namanya di dalam buku pelajaran.

Saya bukan sasterawan yang bisa menulis karya sastera untuk dibukukan.

Saya bukan ahli fizik atau saintis atau karyawan tersohor.

Saya adalah saya. Seorang diri dan belum pun menjadi 'seseorang' lagi.

Saya bukan ahli perang. Saya bukan soldadu yang bersenjatakan pedang atau senapang.

Saya mahu berperang. Dan mahu saya apabila berperang biar sampai menang.

Takut

Saya takut jadi perhatian orang.
Saya takut jadi gagal.
Saya takut persepsi diri.
Saya takut diri dibenci.

Tapi, yang lebih saya takut... tentunya Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Adil.

Saya jadi takut bila mana orang meletakkan harapan yang sangat tinggi.

Saya takut harapan itu hanya tinggal harapan.

Saya takut untuk terus takut.
Kerana itu saya sabarkan diri.
Biar takut itu jadi kekuatan diri.

Wahai sang penakut, jagalah diri. Berbaik sangka pada-Nya. Kerana Dia saja yang ada jawapan yang terbaik untuk kita.

03 April 2012

hati bunga-bunga

Akibat merindu yang teramat sangat kepada mereka maka KAMI pun bertemu. Bertemu di tempat yang dijanjikan seperti selalu.

Memang terlalu lama. Lama yang amat sangat tidak melakukan aktiviti bersama. Hujung malam minggu yang lalu KAMI bertemu. Pertemuan berpasang-pasang mata itu, penuh cerita yang tak jemu-jemu. Ada-ada saja cerita yang dikongsikan.

Yang pasti cerita hati bunga-bunga lebih mendapat perhatian. Ya, hati berbunga-bunga cinta. Pastinya, cerita cinta yang direstui ibu bapa mereka. Ada debar dan getar. Kawan-kawan juga ikut teruja. Ahhh, tunggu saja. Masanya 'kan tiba nanti.

Saya sayang kodokmondok saya.

02 April 2012

Saya sedang...

Saya sedang memerhatikan.
Saya sedang dilihat.
Saya sedang diperhatikan.
Saya sedang melihat.

Sedang saya melihat tiada ilham yang menghampiri. Terus saya melihat diam-diam dan dalam-dalam. Sayup-sayup saya terdengar. Celoteh itu celoteh ini. Saya diam. Tiada ilham.

Saya toleh ke kanan, saya toleh ke kiri. Manusia berjalan mundar-mandir. Pergi ke sana berlalu dari sini. Saya diam. Cuma diam. Tiada ilham.

Cerita manusia hari ini tidak terinspirasi. Masa terus berjalan tinggalkan belakang waktu. Saya terus memerhati dan masa tidak akan terhenti. Pemerhatian saya juga akan terus memerhati. Selagi denyut nadi bersama diri.