30 Ogos 2010

pada satu malam hujan lebat

dan pada satu malam ketika hujan lebat, kita akan meraikan hari kemerdekaan ke-53 keesokan harinya. pada malam itu di dalam bulan Ramadan 1431 Hijrah. semoga tanahair tercinta ini akan terus aman, makmur, damai dan sejahtera.

dan pada satu malam ketika hujan lebat ini juga, Malaysia yang majmuk kaumnya, berwarna-warni citra nuansanya, terus bergembira. hargai dan syukurilah. semoga terus kekal begini, jangan biar api sengketa membara.

Malaysia tanahairku. tanah tumpah darahku.

24 Ogos 2010

rindu


[entri lemau - mode:unsure]

ada banyak perkara yang saya rindukan pada masa ni. rindu kawan-kawan yang kita sayang. rindu pada-Nya. rindu keriangan masa lalu. rindu semua kenangan manis, masam, pahit dan kelat. rindu pada macam-macam perkara yang dulu saya buat tapi sekarang tak mampu saya ulanginya.

rindu kamu. rindu kalbu. rindu sampai mengalirkan air mata. rindu pada yang pernah ada tapi kini sudah tiada. rindu tapi tak pasti untuk apa dan pada siapa.

tak sangka saya akan mengulangi untuk mencoretkan kata-kata lemau di sini. hanya ini saja yang mampu saya lakukan di sini. saya tak ganggu kalian. saya tak salahkan salah paham yang kalian ciptakan. saya senang menjadi diri saya saja.

benar saya kuat. benar saya seorang yang tabah. tapi untuk selalu kuat dan gagah saya terpaksa mengaku saya juga punya rasa lemah. tapi, saya janji saya tak kan meranapkan, merapuhkan semangat ini. saya positif dan akan hadapi semua ini dengan tenang. untuk berapa lama saya tak pasti.

18 Ogos 2010

Hujan Rahmat Pada Satu Malam Ramadhan


Hujan. Rintik-rintik. Bumi basah lagi. Di malam hari. Pada satu malam bulan suci Ramadhan al-Mubarak. Bintang menyepikan diri. Tapi yang pasti bintang tak pernah seorang diri. Bertemankan bulan dan matahari. Setia menyinari.

11 Ogos 2010

Pamerkan Kekuatan Sembunyikan Kelemahan

Apabila kita seringkali diuji dengan pancaroba hidup, tidak dapat tidak kita mencari di mana silap dan salahnya. Ada yang akan menyalahkan diri sendiri, tak kurang yang menyalahkan orang lain. Saya pasti setiap orang melalui situasi ini tidak kira apa punca atau akibatnya.

Di dalam mencari penyelesaian terhadap apa yang terjadi, kita berubah reaksi. Reaksi yang kebanyakannya dipengaruhi emosi, tindakan adakalanya berada di luar kawalan diri. Apabila hal-hal yang tak teringinkan terjadi, kita sebenarnya sedang menunjukkan kelemahan diri.

Berdasarkan pengalaman sendiri, ada benarnya kita akan merasa lega apabila masalah-masalah itu dikongsi kerana terasa bebannya jika ditanggung seorang diri. Tetapi, sampai bila harus meraih simpati?

Adalah lebih baik memperbaiki diri dan mula menghargai sesuatu yang belum hilang. Sesuatu yang belum hilang itu mungkin adalah ‘sesuatu’ yang kita tak perasan selama ini menjadi nilai kehebatan diri kita. ‘Sesuatu’ yang pada ketika itu segalanya berada di dalam kawalan kita.

Pamerkan kekuatan diri kamu, sembunyikan kelemahan-kelemahan itu. Mulalah percaya pada diri sendiri. Diri kita adalah pendorong utama siapa dan apa yang kita mahu menjadikannya.

Ramadhan Yang Dekat di Hati

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan buat semua.

Terlebih dahulu syukur Alhamdulillah, kita diberi kesempatan untuk bertemu sekali lagi pada Ramadhan kali ini. Bagi saya, Ramadhan sangat saya rindukan kerana pada bulan yang penuh keberkatan ini jugalah saya dilahirkan.

Ya, 9 Julai 1983 pada ketika itu adalah bersamaan dengan 28 Ramadhan 1403H. Maka, jika dihitungkan pada 28 Ramadhan 1431H ini, saya berumur 28 tahun! Tak mengapalah. Pada saya umur berganti hanya pada nombor sahaja, tapi sepanjang 27 tahun itu tentunya penuh dengan saat-saat bahagia tak kurang juga cabaran hidup yang penuh liku.

Mak pernah memberitahu saya, ketika saya dalam kandungannya yang sarat pada ketika itu, mak berpuasa penuh kecuali saat saya telah dilahirkan beberapa hari sebelum menjelangnya Aidilfitri.

Apabila saya memberitahu pada rakan yang rapat mengenai hal ini, ada yang mengatakan saya tabah dan cekal mungkin dari ketabahan dan kecekalan mak saya pada ketika itu. Setelah 27 tahun saya harus mengakuinya. Semua kekuatan yang ada pada diri ini adalah kekuatan yang saya dapat daripada mak saya yang saya sayang sangat-sangat.

Jadi sempena Ramadhan ini, lakukanlah yang terbaik sepertinya kita tak berkesempatan menemui Ramadhan pada masa akan datang.

Untuk semua kawan-kawan yang kita sayang semoga amal ibadat kita pada bulan yang mulia ini mendapat keberkatan daripada-Nya. Cekal, tabah dan sabar ketika diri ditimpa musibah. Ingat, Allah sentiasa bersama dengan kita.